Blog

Apa tindakan kita bila lihat sampah merata?

‘Sampah’ adalah satu masalah universal. Ia ada di mana-mana sahaja. Yang lebih menyedihkan, alam yang terpelihara dengan habitat semulajadinya seperti hutan pun boleh ‘tercemar’ apabila ia dikunjungi oleh manusia yang tidak berakal.

Pada hakikatnya, sudah banyak bahan tulisan dan usaha-usaha dilakukan oleh pelbagai pihak di seluruh pelusuk dunia dengan tujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang impak pembuangan sampah merata-rata.

Terima kasih dan syukur kerana atas usaha-usaha murni ini  ianya dapat mengubah seseorang dari ‘tidak tahu’ kepada ‘tahu’ dan ‘tidak sedar’ kepada ‘sedar’. Lantaran, ia mampu mewujudkan masyarakat yang lebih peka terhadap kesan pembuangan sampah dan bersikap lebih bertanggungjawab.

Namun, saya ingin membawa perhatian para pembaca untuk melihat impak pembuangan sampah ini dari sudut yang sedikit berbeza. Saya teringat sebuah buku bertajuk ‘7 Habits of Highly Effective People’ hasil tulisan ‘ Stephen R.Covey’ yang merungkaikan tentang ‘Circle of Concern and Circle of Influence’ yang bermaksud ‘lingkaran perhatian dan lingkaran pengaruh’ dalam hidup kita.

Ia membawa pada satu kesimpulan bahawa ada perkara yang boleh dikawal dan tidak boleh dikawal dalam hidup kita.

Contohnya , dalam isu pembuangan sampah yang memberi impak kepada hidupan lautan adalah sesuatu yang tidak dapat kita kawal dan selesaikan.

Tetapi, dengan mewujudkan kesedaran pada diri sendiri dan memainkan peranan dalam menangani pembuangan dan pengurusan sampah pastinya ia dapat membantu dalam mengurangkan impak pembuangan sampah yang berlaku secara meluas di luar sana seperti dinyatakan di atas tadi.

Persoalannya, di manakah bermulanya masalah pembuangan sampah ini?

‘Sampah’ bermula di rumah. Maka kesedaran sivik juga perlu bermula di rumah. Dalam sebuah keluarga, pendidikan awal sangat penting terutama apabila ianya memberi kesan terhadap perkembangan fungsi *kognitif anak-anak. Apa yang kita lakukan di dalam rumah sentiasa diperhatikan oleh mereka. Kita mungkin beranggapan ataupun tidak sedar bahawa anak-anak kita tidak faham tetapi sebenarnya mereka sedang merakamkan setiap tingkah laku kita ke dalam minda mereka.

Sekiranya kita mempunyai sikap  membuang sampah merata-rata sudah pasti ianya akan dirakamkan sebagai sesuatu ‘yang boleh dicontohi’ dalam minda mereka.

Apakah tindakan kita sekiranya anak kita membuang sampah keluar dari tingkap kereta ketika  berada di atas jalanraya ?

Sewajarnya , kita membuat refleksi diri terlebih dahulu untuk mengenalpasti punca mereka bertindak sedemikian.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap anak yang lahir dilahirkan di atas fitrah, maka kedua-dua orang tuanya menjadikannya Yahudi, Majusi, atau Nasrani.”

(HR Bukhari)

Elakkan memarahi mereka. Adalah lebih baik kita memberi penjelasan dan kefahaman tentang penjagaan kebersihan.

Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis;

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ ، فَنَظِّفُوا ، أُرَاهُ قَالَ ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.

Riwayat al-Tirmizi (2799)

Ia lebih bermanfaat dalam membentuk akhlak dan jati diri mereka sebagai seorang manusia yang berakal. Fungsi minda manusia amatlah luarbiasa kerana ia boleh diprogramkan semula pada setiap peringkat umur. Setiap kesilapan ataupun kesalahan mahupun kebiasaan yang dilihat sebagai ‘tidak salah’ dapat diperbaiki dengan mewujudkan kesedaran melalui ilmu dan pendidikan.

Rasulullah SAW telah pun membuktikannya dengan mengubah pemikiran masyarakat Jahiliyah Arab sehingga menjadi sebuah masyarakat Madani.

Dalam hal ini, kita sudah pun dimudahkan dengan pendedahan kepada impak dan kesan negatif dari perbuatan membuang sampah merata-rata. Kita hanya perlu meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam menangani isu ini.

Usaha yang kita lakukan dan tunjukkan dapat dicontohi oleh anak-anak agar mereka lebih memahami tentang kebersihan dari perspektif yang lebih luas lantaran dapat memainkan peranan mereka dalam mengurangkan impak isu universal ini.

Bermula dengan diri kita, usaha untuk menangani isu pembuangan sampah merata-rata pasti dapat ‘membuka mata’ masyarakat di sekeliling kita dan dikembangkan kepada setiap lapisan masyarakat.


Allah berfirman di dalam Al Quran :

لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٌ مِّنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦ يَحْفَظُونَهُۥ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوْمٍ سُوٓءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Surah Ar-R’ad ayat 13

Menjaga kebersihan adalah salah satu modul penerapan nilai-nilai murni dalam diri pelajar yang telahpun dilaksanakan di ASPEN Academy. Ianya penting dalam membentuk keperibadian dan akhlak yang mulia.Apapun usaha yang dilakukan, ia memerlukan penglibatan semua pihak bagi melihat impaknya.

Mari kita bersama-sama berganding bahu bagi menjaga kebersihan dan keindahan alam ini.

*kognitif – proses akal untuk mengenal pasti, memahami dan melakukan perubahan

Coach Ralph

Certified Trainer in Cognitive Development

Cambridge Global Learning, UK

5 thoughts on “Apa tindakan kita bila lihat sampah merata?

  1. Terima Kasih dengan tulisan ini, mengingatkan kita tentang kebersihan, kebersihan bermula dari rumah.
    Di Syarikat saya bekerja ada menjalankan kempen #cleanupgreenup, Semoga kempen ini dapat menyedarkan masyarakat tentang kebersihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop
    Chat sekarang
    1
    Ada pertanyaan?
    Salam. Boleh saya bantu?